Feb 5, 2009

Zakat Terhadap Golongan Sayyed

Soalan:

Salam

Moga dirahmati Allah,

Pohon penjelasan tentang permasalah dan hukum yang diterima pakai di Malaysia dan pandangan terrajih mengenai penggagihan wang zakat kepada golongan sayyed (keturunan rasulullah SAW)....ada yg kata tak leh kasi...ada yg kata bleh kasi...

Minta penjelasan terkini dari ulamak muktabar tentang isu ini....

***********************
Jawapan:

kamin
Panel Feqh
Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr anakMINANG04 dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Jika dimaksudkan golongan Sayyid ini dari kalangan keturunan "wali2", maka hukumnya sama sahaja seperti kelapan2 asnaf zakat. Jika memenuhi syarat, maka mereka juga boleh menerima zakat. Akan tetapi, jika sayyid itu merujuk kepada keturunan Rasulullah saw, maka terdapat hukum yang khas mengenainya. Mereka ini dikenali sebagai ahl-Bayt (لآل البيت). Menurut al-Syarh al-Mumti' (6/258) Ahl al-Bayt adalah:-

هم بنو عبد المطلب ( وهم آل علي وآل عباس وآل جعفر وآل عقيل وآل الحارث أبناء عبد المطلب ) ومواليهم
"Mereka adalah Bani/kaum/keturunan Abdul Muttalib (keturunan dari Ali, keturunan 'Abbaas, keturunan Ja'afar, keturunan 'Aqil, keturunan al-Haarith dan anakl Abdul Muttalib), dan hamba mereka yang bebas"

Apakah mereka boleh menerima zakat? Menurut fatwa al-Lajnah al-Daa'imah (fatwa #7778, Jld 10/68) :-

لا يجوز أن يعطى المذكورون الزكاة؛ لما ورد في ذلك من الأدلة التي تحرمها عليهم، ومنها ما رواه الإمام مسلم رحمه الله عن عبدالمطلب بن ربيعة بن الحارث رضي الله عنه: قال قال رسول الله: «إن الصدقة لا تنبغي لآل محمد، إنما هي أوساخ الناس»، وفي رواية: «إنها لا تحل لمحمد ولا لآل محمد».
"Tidak dibenarkan memberi zakat kepada Ahl al-Bayt kerana terdapat dalil larangan keatas mereka, termasuk riwayat Imam Muslim rh dari Abdul Mutallib ibn Rabee'ah ibn al-Harith ra berkata :'Rasulullah saw bersabda :'Sesungguhnya Zakat/Sedekah tidak boleh diberikan kepada keluarga Muhammad kerana ianya dikeluarkan dari kotoran manusia'didalam riwayat lain :'Sesungguhnya tidak dibenarkan keatas Muhammad dan kaum keluarga Muhammad'(Hadith dikeluarkan oleh Maalik didalam al-Muwattha' 2/998, Ahmad 4/166, Muslim #1072 2/753, Abu Daud #2985 3/388-389, al-Nasaa'i #2609 5/106, al-Baihaqi 7/31-32)."

Al-Nawawi ketika membicarakan makna "Sesungguhnya Zakat/Sedekah tidak boleh diberikan kepada keluarga Muhammad", menunjukkan bahawa ia dilarang samada mereka terlibat didalam mengutip dan mengagihkan zakat atau disebabkan mereka miskin dan memerlukan, atau salah satu dari alasan yang 8. Beliau mengatakan ini adalah pandangan yang benar menurut mazhabnya.

Makna "kerana ianya dikeluarkan dari kotoran manusia" menunjukkan sebab larangan tersebut, dimana mereka diberi penghormatan mereka tidak layak menerima kotoran tersebut. 'Kotoran manusia' bermakna manusia membersihkan harta mereka dengan berzakat sebagaimana firman Allah swt :-

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)" - [al-Taubah 9:103]

Kesimpulannya, bagi keturunan Abdul Muttalib, mereka dikategorikan sebagai ahl bayt dan tidak dibenarkan menerima pemberian zakat sebagaimana yang dijelaskan dari hadith diatas. Cuma fenomena ahl bayt ini bukanlah sepertimana yang didakwa oleh setengah2 pihak seperti Syiah dsb. Bak kata Syiekh Muhammad Al-Mukhtar Al-Shinqiti :-

"But this Islamic definition has nothing to do with the popular culture on the issue of Ahlul- bayt. For example, millions of people claim to be descendants of the Prophet for worldly motives. Nobody knows today who belongs to Ahlul- bayt and who does not."

(terjemahan : akan tetapi definsi ini tidak ada kena mengena dengan kebudayaan yang popular mengenai isu ahlul bayt. Contohnya berjuta-juta orang mendakwa bahawa mereka adalah keturunan Nabi saw dengan mempunyai tujuan2 tertentu. Tiada siapa sekarang ini yang tahu siapa yang tergolong kepada Ahlul Bayt dan siapa yang tidak). Wallahu A'lam

wassalam
==========
Rujukan :

1. Fataawa Al-Lajnah al-Daa’imah li al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta' - 10. susunan Syeikh Ahmad bin Abdul Razak al-Dauwish. cetakan ke 3. Riyad : Daar al-Mu'ayyad, 2000. ms 68.

2. Syiekh Muhammad Al-Mukhtar Al-Shinqiti . Fatwa Umum, 14 April 2004. url : http://www.islamonline.net/livefatwa/english/Browse.asp?hGuestID=dBzEVw

_________________
thtl

Salam

Fatwa Prof Dr al_Imam Yusof alQaradawi

Ijtihad muttakhir dari Prof alQardhawi (gambar sebelah) dalam Tesis Doktorat alAzharnya, Fiqh Zakat: 2/233-234, Beyrut: Mu'assah Risalah edisi ke 2, 1973)

Dr Qardhawi berfatwa bahawa keturunan RasuluLlah saw sekarang BOLEH menerima Zakat.

Hujah beliau:

1. Larangan RasuluLlah saw tidak Qat'iy (amat jelas sekali maksudnya). Larangan itu (mengambil sedeqah dan zakat) adalah kerana kedudukan Nabi saw pada masa itu sebagai Ketua Kerajaan dan Nubuwwah. Ia bersifat sementara.

2. Istilah ali Muhammad (keluarga Muhammad) itu sendirinya bukanlah istilah baku yg terpakai hingga Kiamat. Lihat keturunan yg disebut dalam alQur:an spt Ali-Imran (keluarga Imran), ali Ibrahim, ali Fir'aun. Ini kerana istilah2 itu hanya valid dan terpakai pada zaman tertentu sahaja dan tidak kekal sampai Kiamat. Maka begitulah status ali Muhammad saw.

Pendapat alQardhawi ini secocok dgn sebahagian madzhab Maliki dan Hanafi. Menurut fuqaha Maliki, alSawi ( Bughah alSalik, alHalabi, Cairo: 1/232), dan Ibn alHumam dari fuqaha Hanafi (Fath alQadeer, Cairo, alHalabi: 2/272)
berpendapat ali Muhammad saw boleh menerima Zakat sekarang.

Hujahnya: Zaman itu ali Muhammad menerima Khumus (dalil AQ 8: anfaal: 41) dari baytul Maal. Sekarang khumus itu sudah dihapuskan, maka mereka boleh menerima zakat.

Rumusan:

Apa yg disampaikan oleh Syaikh Kamin dari Lajnah Fiqh al_Ahkam adalah dari Fiqh Hanbali yg mewakili pendapat Jumhur.

Apa yg disampaikan oleh thtl adalah dari Fiqh alMuqaran dari pakar Fiqh Kontemporer, Dr alQardhawi.. Allah sahaja yg mengetahui kebenaran yg muktamad dalam hal ini.

Wallahu A'lam
_________________

kamin
Panel Feqh

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah. Benar kata syeikh thtl. Sekadar tambahan, ulama2 kontemporer melihat bahawa pada zaman yang tiada lagi wujud khums, mereka dibenarkan menerima zakat. Menurut Syeikh Ibn Taimiyah rh :-

وبنو هاشم إذا منعوا من خمس الخمس جاز لهم الأخذ من الزكاة وهو قول القاضي يعقوب وغيره من أصحابنا وقاله أبو يوسف والإصطخري من الشافعية لأنه محل حاجة وضرورة .
"Jika Bani Haashim tidak lagi mendapat 1/5 dari khums, adalah dibenarkan mereka menerima zakat. Ini adalah pandangan al-Qadi Ya'qub dan lain2 dikalangan sahabat kami. Ia juga merupakan pandangan Abu Yusuf dan al-Istakhri dikalangan Syafie, kerana sesungguhnya ia merupakan kehendak dan keperluan" [Al-Fataawa al-Kubra, 5/374]

Malahan Syeikh Ibn Utsaimin rh juga menyebut :-

فإذا مُنعوا أو لم يوجد خمس كما هو الشأن في وقتنا هذا : فإنهم يُعطَون من الزكاة دفعاً لضرورتهم إذا كانوا فقراء ، وليس عندهم عمل ، وهذا اختيار شيخ الإسلام ابن تيمية وهو الصحيح .
"Jika mereka dihalang atau tidak ada lagi khums sebagaimana keadaan sekarang, maka mereka boleh diberikan zakat bagi memenuhi keperluan mereka jika mereka miskin dan tidak mempunyai pekerjaan. Ini merupakan pandangan Syeikh al-Islam ibn Taimiyah rh dan ini merupakan pandangan yang betul" - [al-Sharh al-Mumti’, 6/257].

Wallahu A'lam, wassalam

1 comments:

Anonymous said...

Adakah sumber biasiswa fully zakat? Kalau ye, maksudnya ahlul bait juga tidak boleh menerima biasiswa walaupun sebagai ibni sabil?

Post a Comment