Jan 31, 2009

Harta Karun

Ana ada sedikit kemusykkilan…

Dalam Fiqh… apa hukumnya jika kita menemui sesuatu yang berharga seperti emas, mutiara dan sebagainya dan letaknya di tempat-tempat awam yang tidak berkepunyaan…? Dan apa pulak hukumnya jika barang tu dijumpai di kawasan kita – tanah kita, rumah kita dsb?

Wa

**************
Salam

Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Saya akan salin dan terjemahkan satu fasal dengan lengkap mengenai Luqathah atau barang temuan berdasarkan mazhab Syafi'i. Ia saya salin dari Matan Abi Syuja;. Kita juga boleh dapatkan penjelasan mengenai luqathah ini pada mana-mana kitab feqh dari semua mazhab.

Ada satu jenis lagi barang temuan, tetapi yang terpendam. Ia dipanggil rikaz. Ia memerlukan satu penjelasan lain khusus mengenai bab berkenaan. Atau rujuk dalam mana-mana kitab feqh mengenai rikaz (ركاز). Ini yang barangkali kita panggil sbg harta karun.

Yang dimaksudkan dengan rikaz ialah harta yang terpendam dari masa jahiliyah atau pra Islam. Jika ia bukan harta dari masa jahiliyah atau pra Islam, atau tidak diketahui samada ia dari zaman mana, maka ia tidak dihukum sbg rikaz tetapi luqathah/barang temuan. (Feqhus Sunnah)

Berikut ini adalah kitab matan Abi Syuja' yang saya salin dan terjemahkan:

فصل: وإذا وجد لُقطَةً في مَوَات أو طَرِيق فله أخْذُها أو تَرْكُها وأخْذُها أولى من تَرْكِهَا، إن كان على ثِقَة من القِيَام بها.

Fasal: Apabila seseorang itu menemui suatu barang (luqhatah/barang temuan) samada di tanah yang mati atau dijalanan, maka dia boleh mengambilnya ataupun meninggalkannya. Dan mengambilnya adalah lebih utama, itupun jika dia percaya bahawa dia boleh menjaga barang temuan itu.

وإذا أخَذَها وجَبَ عليه أن يعرف ستة أشياء: وِعَاَءَها وعِفَاصَها، ووِكَاءَهَا، وجِنسَهَا، وعَدَدَها، ووَزنَها.

Jika dia mengambilnya, maka wajib ke atasnya mengetahui enam perkara: 1. Bekas/tempatnya. 2. penutupnya. 3. talinya. 4. Jenisnya. 5. bilangannya. 6. timbangannya.

ويحفظها في حِرْزِ مِثلِهَا، ثم إذا أراد تَمَلُّكَهَا عَرَّفَهَا سنة على أبواب المساجد، وفي المَوضِع الذي وجدها فيه، فإن لم يجِد صاحبها كان له أن يَتَمَلَّكَها بشرط الضَّمَان.

Barang temuan itu wajib disimpan di tempat simpanan yang sesuai. Kemudian jika dia ingin memiliki barang temuan itu, dia mestilah mengumumkan selama setahun di pintu-pintu masjid dan juga di tempat di mana barang itu ditemui. Maka jika tidak dapat menemui pemiliknya, bolehlah dia memiliki barang temuan itu dengan syarat dhamaan (dia mestilah menggantinya jika pemilik itu ditemui).

والُّلْقَطة على أربعة أَضْرُب: أحدها ما يَبْقى على الدَّوام، فهذا حكمه.
والثاني: ما لا يبقى كالطعام الرَّطْب، فهو مُخَيَّرٌ بين أَكْلِه وغُرْمِه، أو بَيْعِه وحِفْظِ ثمَنِه.
والثالث:ما يبقى بعِلاج كالرُّطَبِ ،فيفْعَلُ المَصْلَحَة من بَيْعِه وحِفْظِ ثمنه، أو تَجْفِيفه وحِفْظِه. والرابع: ما يَحْتَاج إلى نَفَقَة كالحيوان، وهو ضَربَان: حيوان لا يَمتَنِعُ بنفسه فهو مُخَيَّرٌ بين :أكْلِه وغُرْمِ ثمنه، أو تَرْكِه والتَّطَوُعِ بالإنفاق عليه، أو بيعه وحفظ ثمنه .
وحيوان يَمْتَنِعُ بنفسه، فإن وجَدَه في الصحراء تَرَكَه، وإن وجده في الحَضَر فهو مُخَيَّرٌ بين الأشياء الثلاثة فيه.

Barang temuan (luqathah) ada empat jenis:

1. Jenis yang kekal seperti emas dan perak. Maka itulah hukumnya (perkara yg disebutkan di atas).

2. Jenis yang tidak kekal seperti makanan basah. Orang yang menemuinya boleh memakannya, kemudian menggantinya, atau boleh menjualnya dan menyimpan wang hasil jualannya.

3. Jenis yang tidak kekal jika tidak dijaga atau diproses, seperti kurma yang basah. Penemunya hendaklah melakukan apa yang terbaik untuknya, samada menjual dan menyimpan wang hasil jualannya atau mengeringkan dan menyimpannya.

4. Jenis yang memerlukan biaya, seperti binatang. Jenis ini terbahagi dua jenis:

i. Binatang yang tidak boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Penemunya boleh memakannya dan menggantikan nilai harganya atau memeliharanya secara sukarela, kemudian menjual dan menyimpan wang hasil jualannya.

ii. Binatang yang boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Jika ia ditemui di padang, hendaklah dibiarkan/ditinggalkan. Jika ia ditemui di kampung, penemunya boleg memilih melakukan antara 3 perkara yg tersebut di atas.

فصل:وإذا وُجِدَ لَقِيط بقَارِعَة الطريق ،فأخذه وتَربِيَته وكفَالَته واجِبَة على الكِفَاية.
ولا يُقَرُّ إلا في يَدِ أمين،فإن وُجِدَ معه مال، أنفق عليه الحاكم منه وإن لم يوجد معه مال فنَفَقَته في بيت المال

Fasal: Apabila ada kanak-kanak yang ditemui di jalanan, maka hukum mengambilnya, menjaganya dan memeliharanya adalah fardhu kifayah. Kanak-kanak ini tidak boleh ditinggalkan kecuali di tangan orang yang boleh dipercayai.

Jika didapati pada kanak-kanak itu ada harta, hakim hendaklah menampung kos perbelanjaan kanak-kanak itu dengan harta berkenaan. Jika kanak-kanak itu tiada harta, maka kosnya adalah ditanggung oleh baitulmal.

--- Selesai ---

Wassalam

0 comments:

Post a Comment