Jan 29, 2009

Lafaz zakat

Salam

Adakah lafaz zakat atau fidyah, kata2 yg diucapkan pemberi zakat dan amil ketika berjabat tangan itu termasuk dalam rukun/syarat yang mempengaruhi sah atau tidaknya pembayaran itu? Atau hanya satu perkara rasmi yang telah menjadi kebiasaan?

Wassalam

**********************
kamin
Panel Feqh

Wa'alaikumussalam

Sebelum kita melihat kepada keperluan lafaz didalam perlaksaan ibadat zakat, eloklah kita melihat dahulu syarat-syarat sah menunaikan zakat (شروت أداء الزكاة).
Dr. Wahbah Zuhaily telah memberi dua syarat sah menunaikan zakat:-

1. Niat
2. Pertukaran hak milik.

Berikut adalah petikan definasi beliau:


1. اَلنِّيَّة
النية : اتفق الفقهاء على أن النية شرط في أداء الزكاة, لقول النبي {إنـما الأعـمـال بالنيات } وأداؤها عمل, ولأنها عبادة كالصلاة فتحتاج إلى نية لتمييز الفرض عن النفل.
(Fikh Al-Islami 2/750)


2. التمليك
يشترط التمليك لصحة أداء الزكاة بأن تعطى للمستحقين، فلايكفي فيها الإباحة أو الإطعام إلا بطريق التمليك, ولاتصرف عند الحنفية إلى مجنون وصبي غير مراهق (مميز) إلا إذا قبض كالأب والوصي وغيرهما. وذلك لقوله تعالى : (وآتوا الزكاة) والإيتاء هو التمليك, وسمى الله تعالى الزكاة صدقة بقوله عز وجل : (إنما الصدقات للفقراء) والتصدق تمليك, واللام في كلمة (للفقراء) - كما قال الشافعية - لام التمليك, كما يقال : (هذا المال لزيد).

(Fikh Al-Islami 2/752)

---------
Kesimpulan dari definasi diatas:-

1. Niat : ulama bersepakat mengatakan bahawa niat adalah syarat menunaikan zakat, kerana Nabi saw bersabda bahawa "Setiap amalan itu adalah berdasarkan kepada Niat", maka dengan niat tertunainya amalan seseorang. Sesungguhnya zakat ibadat yang serupa dengan ibadat-ibadat yang lain seperti solat, dimana ia memerlukan niat baik didalam ibadat fardu dan juga sunat.

2. Pertukaran hak milik: ia merupakan syarat sah menunaikan zakat dengan susungguhnya ia diberi kepada penerima-penerimanya (beneficiaries), tidak mencukupi sehingga berlakunya pertukaran hak milik oleh pemberinya. Disana Allah swt relah berfirman :"berilah zakat", dimana 'pemberian' adalah merupakan 'pertukaran hak milik', Allah Azza Wajalla menamakan zakat didalam ayat lain sebagai sedeqah : "sesungguhnya bersedeqahlah kepada fuqara'". Didalam ayat tersebut, huruf "Lam" didalam kalimah 'LilFuqara'' membawa 'maksud pertukaran hak milik'. Imam Al-Syafie mengatakan bahawa huruf "Lam" membawa maksud 'pertukaran hak milik' dengan memberi contoh "Duit ini kepada Zaid". (LizZaid, membawa erti 'tukar hak milik kepada Zaid').

Sebagai tambahan, 'pertukaran hak milik' boleh dilihat didalam sebuah hadith: {Diriwayatkan dari Umar bin Khattab berkata : "Saya sedekahkan kuda ini di jalan Allah kemudian orang yang saya sedekahi tidak memeliharanya dengan baik dan saya sangka ia menjualnya dengan harga murah. Maka saya berkehendak membelinya. Kemudian saya bertanya pada Rasulullah SAW beliau bersabda : "Janganlah engkau beli dan jangan ambil kembali lagi sedekahmu walaupun ia memberimu dengan dirham karena orang yang mengambil kembali sedekah seperti anjing yang menelan kembali liurnya". (Muttafaq ‘Alaih).}

Menurut Dr Zuhaily, bahawa mazhab Maliki telah meletakkan 3 syarat yang lain (syarah Al-Risalah) :

1. إِخْرَاج اَلزَّكَاة بَعْد وُجُوبهَا بالحول أو الطيب أو مجيء الساعي, فإن أخرجها قبل وقتها، لم تجزه خلافا لجمهور الفقهاء. :- Pengeluaran zakat setelah tiba keperluannya dengan haul atau baik , jika ia mengeluarkan sebelum waktunya, tiadalah perselisihan diantara ulama'.

2. دفعها لمن يستحقها لالغيره :- Membayarnya kepada sesiapa yang memerlukan dan bukan yang selainnya.

3. كَوْن اَلزَّكَاة مِنْ عَيْن مَا وَجَبَت فِيهِ : - Zakat dari sesuatu barangan yang diperlukannya. Dengan kata lain hendaklah dari harta terbaik, hasil usaha yang terbaik dan paling disukainya.

Didalam Ensaiklopedia Feqh Kuwait mengaris kan kelima-lima perkara diatas sebagai syarat sah menunaikan zakat.

Sayyid Sabiq (Fiqh Al-Sunnah, 1/471) mengatakan bahawa :


يستحب الدعاء للمزكي عند أخذ الزكاة منه

"Mustahab dan dicadangkan agar berdo'a semasa ketika mengambil zakat darinya"

Ini diambil dari firman Allah swt:-


خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". [Al-Taubah:103]

-------
Kedudukan Ijab Kabul didalam syarat sah zakat

Menurut mazhab Syafie, sesuatu pemberian hanya sah disertai dengan ijab dan kabul. Tetapi menurut mazhab Hanbali, sesuatu barang yang telah ditetapkan harga dan perbuatan-perbuatannya menunjukkan secara tidak langsung ijab dan kabul.

Ibnu Qudamah didalam Kitab Al-Mughninya berkata bahawa menurut pandangan yang lebih sahih perbuatan yang menunjukkan Ijab dan Kabul sudah memadai, dan ia tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu 'Uqail, kerana Nabi saw pernah memberi hadiah dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagikan dan mengagihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sa'ie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat, para sahabat juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib ijab dan kabul. (Al-Mughni li Ibnu Qudamah: 6/238).

=======
Kesimpulannya tidaklah menjadi syarat sah zakat bagi sesiapa yang mengeluarkan zakat tanpa menlakukan lafaz ijab dan kabul. Walaubagaimana pun, ijab dan kabul merupakan salah satu dari qaul dari Mazhab Syafie. Yang paling mustahak ditekankan oleh jumhur ulama', ialah qasad niat menunaikan zakat kerana niat dianggap sebagai syarat sah didalam ibadat zakat sepertimana ibadat-ibadat lain. Begitu juga dengan 'pertukaran hak milik' dimana barangan yang telah diberikan sebagai zakat tidak boleh diambil balik ataupun dibeli kembali.

wallahu'alam

-wassalam-

Rujukan:

1. Dr. Wahbah Zuhaily. Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu (Cetakan ke 3). Beirut : Dar Al-Fikr, 1989
2. Sayyid Sabiq. Fiqh Al-Sunnah. Manar Al-Dauliyah, 1995.
3. Ensaiklopendia Feqh Kuwait. http://feqh.ajeeb.com
4. Fatwa Mufti Brunei. Irsyad. http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2000/ic26_2000.htm

1 comments:

Beta said...

Mari segera membayar zakat fitrah sebelum terlambat.

Post a Comment